Sunday, January 9, 2011

Kesan asap rokok kepada kanak-kanak.

Sering kali aku melihat seorang bapa mendukung anak-anak yang berusia tidak matang sambil menghisap rokok. atau sesiapa sahaja merokok yang mengetahui bahawa mereka sebenarnya menghampiri kanak-kanak. tetapi tidak mengendahkan perkara tersebut. Kadang-kadang nak juga marah bapa atau orang yang merokok tersebut yang aku anggap mementingkan diri sendiri. Tahukah anda semua bahawa kesan asap rokok yang dihembuskan itu amat memudaratkan kanak-kanak terutamanya masih bayi lagi.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang dirayakan setiap 31hb. Mei. Tahun ini, tema perayaan ini ialah Asap Rokok Basi: Dedahkan Faktanya. Tema ini dipilih untuk menerangkan betapa bahayanya asap rokok basi atau asap rokok yang dihembus oleh perokok terhadap kesihatan orang-orang di sekelilingnya. Istilah saintifiknya ialah merokok secara pasif (passive smoking) manakala asap yang dihembus dikenali asap tembakau persekitaran.

Kajian WHO mendapati bahawa asap ini mengandungi lebih banyak bahan-bahan beracun seperti nikotin, formaldehida, penyebab kanser dan benzena berbanding dengan asap utama yang disedut oleh perokok. Malah asap ini lebih merbahaya kerana ia akan terapung di udara beberapa ketika.

Hari Tanpa Tembakau merupakan usaha yang ditaja oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia secara global, bertujuan untuk mengingatkan kita tentang wabak tembakau yang meracuni masyarakat dunia serta membunuh empat juta penduduk dunia setiap tahun dan angka ini dijangka meningkat kepada 10 juta orang di tahun 2030. Tujuh puluh peratus kematian melibatkan mereka dari negara-negara membangun.

Kesan asap tembakau basi kepada kesihatan orang-orang yang terdekat dengan perokok telah lama terbukti. Kajian WHO menunjukkan bahawa wanita yang bersuamikan perokok mempunyai risiko 30% lebih tinggi mendapat barah paru-paru. Peratusan ini meningkat bergantung kepada jumlah rokok yang dihisap oleh sang suami dalam sehari. Kesan merokok pasif terhadap anak-anak perokok (ibubapa yang merokok) lebih membimbangkan. Menurut WHO lagi, pendedahan kepada kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah meningkatkan lagi berlakunya asma jika ibubapa menghisap 10 batang rokok atau lebih. Kesan pendedahan asap rokok kepada kanak-kanak termasuklah jangkitan telinga, jangkitan saluran pernafasan dan sindrom kematian bayi secara mengejut (sudden infant death syndrome, SIDS).

Jadi fikir-fikirkanlah perokok-perokok semua. Jauhkanlah diri anda dari kanak-kanak terutama yang masih bayi atau ibu yang sedang mengandung ketika merokok. Ampun maaf dari aku sekiranya fakta ini membuatkan anda terguris perasaan dalam memberi kesedaran yang anda sendiri sedar untuk mengubah keadaan yang lebih baik.














No comments:

Post a Comment